5 Pengajaran Berguna Tentang Pengalaman Saya Berpuasa di Perantauan

Share

Pengalaman menjalani bulan Ramadhan di perantauan merupakan suatu perkara yang amat menarik meskipun terdapat cabaran.

Walaupun pernah menuntut di luar negara selama 4 tahun, namun situasi kali ini sedikit berbeza.

Ramadhan menjelang hanya setelah sebulan berpindah ke Boston seorang diri tanpa mengenali sesiapa pun di kota besar ini.

#1. Waktu Berpuasa Yang Lebih Panjang

Jumlah jam umat Islam perlu berpuasa berbeza mengikut negara. Infografik: Islamicgps.com

Pada tahun ini, bulan Ramadhan jatuh pada musim panas di negara-negara Hemisfera Utara seperti Amerika dan Eropah, di mana waktu siang adalah lebih panjang berbanding waktu malam.

Ini bermakna, waktu berpuasa menjadi lebih panjang berbanding dengan di Malaysia.

Contohnya di bandar Boston, waktu Imsak masuk kira-kira pada jam 4.30 pagi manakala waktu Maghrib pada jam 8.40 malam.

Berpuasa selama lebih 16 jam sehari sememangnya agak mencabar, terumatanya ketika keadaan cuaca di luar adalah panas dan kering.

Namun, dalam masa yang sama, ianya mengajar diri untuk menjadi lebih penyabar dan bertabah.

Waktu berpuasa yang extra tersebut diisi dengan ibadah-ibadah sunat agar masa dimanfaatkan sebaiknya.

 

#2. Cabaran Menjaga Disiplin Diri

Solat Tarawih di Boston. Foto: Bostonglobe.com.

Berada di negara yang majoriti penduduknya bukan beragama Islam, menjalani ibadah berpuasa menuntut disiplin diri yang tinggi, terumatanya apabila tinggal berseorangan.

Peti ais perlu dipastikan sentiasa ‘berisi’ supaya ada santapan setiap kali bangun bersahur.

Alarm di smartphone juga perlu dipasang setiap hari untuk waktu bersahur dan juga waktu berbuka.

Harus perlu berdisplin untuk bangun bersahur tanpa bantuan ahli keluarga yang tolong kejutkan seperti ketika berada di tanahair.

Oleh kerana lokasi masjid yang agak jauh, kerap kali solat Tarawih terpaksa dilakukan sendiri di rumah berseorang diri.

Kadang-kadang terlalai juga dek asyik menonton TV ataupun terleka “melayan internet”, tetapi harus gagahkan iman untuk melakukan solat Tarawih.

 

#3. Aktiviti Harian Yang Lebih Mencabar

Masjid di Roxbury, Boston. Foto: Moreformuslims.co.uk.

Tidak semua orang di sini mengetahui bahawa umat Islam di seluruh dunia sedang menjalani ibadah berpuasa sekarang.

Jadi, sering ada teman-teman yang mengajak untuk makan tengahari bersama-sama ataupun melakukan aktiviti-aktiviti sukan yang tidak larat untuk dilakukan ketika sedang puasa.

Lantaran itu, acap kali perlu memberi penjelasan kepada teman-teman tentang informasi berkaitan ibadah puasa seperti perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan ketika sedang berpuasa, kenapa umat Islam perlu berpuasa dan sebagainya.

Terus terang, ianya agak mencabar tetapi seronok juga pada masa yang sama.

Terasa seperti ada tanggungjawab penting pada diri sendiri untuk menjadi contoh muslim yang baik dan memberikan penjelasan kepada teman-teman yang kurang memahami tentang agama Islam.

 

#4. Kerinduan Kepada Makanan Tradisi

Antara kuih-muih biasa didapati di bazar Ramadan di Malaysia.

Di Malaysia, bulan Ramadhan begitu sinonim dengan bazaar makanan yang menjual kuih-muih serta masakan tradisi Melayu yang lazat seperti nasi ayam, popiah basah, bubur nasi, air tebu dan sebagainya.

Namun, apabila berada di luar negara, makanan-makanan tradisi tersebut terpaksa diganti dengan pasta, pizza, salad ringkas dan makanan Barat yang lain.

Kesuntukan waktu akibat tuntutan waktu bekerja memaksa diri untuk berbuka ala kadar sahaja.

Sekiranya ada masa untuk pergi berbuka di masjid atau Islamic Community Center, dapat jugalah merasa berbuka puasa dengan nasi Arab yang selalunya disedekahkan oleh restoran-restoran halal yang berdekatan.

Ada masa pada hari minggu, sesekali mencuba juga memasak sendiri makanan-makanan tradisi Melayu, namun tidak dapat menandingi kesedapan masakan ibu di tanahair.

Kerinduan terhadap keluarga memang sentiasa dirasai!

 

#5. Semangat Perpaduan Yang Lebih Utuh

Komuniti muslim yang majmuk di Boston. Foto: Bostonglobe.com

Masyarakat Islam di Boston terdiri daripada pelbagai kaum yang datang berhijrah dari seluruh pelosok dunia; ada orang putih yang berasal dari Amerika Syarikat, ada yang datang daripada negara-negara Timur Tengah, Asia, Afrika dan juga Eropah.

Pengalaman berbuka di masjid sememangnya amat seronok kerana dapat berkenalan dengan komuniti Islam yang datang dari pelbagai jenis budaya.

Oleh kerana agama Islam merupakan agama minoriti di sini, semangat perpaduan memang amat jelas kelihatan.

Mempelajari bagaimana masyarakat Islam yang lain mempraktikkan agama yang sesekali caranya agak berbeza dengan cara di Malaysia, membuatkan diri terasa begitu kecil dan perlu mentelaah dengan lebih banyak.