Topik “throwback” atau “imbas kembali” sememangnya amat digemari oleh rakyat Malaysia kerana ianya dapat membangkitkan kembali memori dan kenangan indah sewaktu zaman kanak-kanak.
Zaman kanak-kanak rakyat Malaysia sekitar era zaman 90an dahulu tiada gajet dan Internet seperti mana pada hari ini.
Namun aktiviti harian mereka dipenuhi dengan permainan yang sangat menyeronokkan bersama kawan-kawan.
Bersempena dengan ulang tahun ke-10 siri TV animasi Upin & Ipin di sini disenaraikan 15 permainan yang biasa dimainkan oleh kanak-kanak pada zaman dulu yang terdapat dalam animasi Upin & Ipin.
1. Batu Seremban
Batu Seremban atau Selambut ialah sejenis permainan tradisional yang dimainkan diMalaysia. Selambut adalah sebutan di sebelah utara dan pantai timur Semenanjung, manakala di pantai barat semenanjung permainan ini dikenali sebagai Seremban.
Ia biasanya dimainkan oleh kanak-kanak perempuan secara individu atau secara berkumpulan seramai dua hingga lima orang.
Permainan selambut cuma memerlukan beberapa biji buah.
Guli kaca, biji getah, anak batu kerikil atau ketulan-ketulan objek lain berbentuk bulat biasa digunakan, lazimnya sebanyak lima biji.
Selain itu, karung kain yang dijahit dan diisi dengan biji saga, pasir dan sebagainya juga digunakan.
2. Galah Panjang
Galah panjang adalah sejenis permainan tradisional yang dimainkan di atas gelanggang yang dilakar di atas tanah kosong.
Gelanggang yang dibuat mengandungi 2 lajur dan beberapa baris bergantung kepada bilangan pemain.
Gelanggang galah panjang dibuat mengikut bilangan pemain yang bermain galah panjang.
Contohnya jika pemain ada 10 orang, gelanggang yang dibuat mengandungi 4 baris.
Jika bilangan pemain sebanyak lapan orang, gelanggang galah pnjang mengandungi 3 baris.
Permainan ini melibatkan kepakaran seorang ketua atau ibu untuk mengawal gerakan anak buah bagi pihak yang mengawal gelanggang.
Manakala kecekapan dan kepantasan teruji kepada pihak yang menempuh gelanggang.
Jika pihak menempuh gelanggang mempunyai kebijaksanaan menempuh gelanggang, maka mereka boleh menang dengan mudah.
3. Konda Kondi
Konda kondi atau juga dikenali sebagai Perik mata ialah sejenis permainan tradisional kanak-kanak di Malaysia.
Dalam masyarakat India, ia dipanggil ‘kaunda kaundi’.
Permainan ini boleh dimainkan sekurang-kurangnya 2 orang.
Permainan ini menggunakan dua batang kayu sepanjang 0.5 meter.
Sebuah lubang dikorek di atas tanah sedalam 0.2 meter dan lebar 0.2 meter juga.
Kayu diletak di tengah lubang secara melintang.
Sebatang kayu digunakan untuk menguit dan mengungkit kayu agar terpelanting jauh dari pemain lawan.
4. Lat Tali-lat
Lai lai li tam plong atau lat tali lat tali tamplom merupakan satu kaedah pengundian yang dilakukan oleh kanak-kanak bagi menentukan giliran dalam sesuatu permainan.
Ia dilakukan secara berkumpulan dengan mengucapkan “Lai lai li tam plong” sebelum menunjukkan telapak atau belakang tangan.
Selain menggunakan kaedah Lai lai li tam plong, undian bagi menentukan giliran juga dilakukan melalui kaedah wan tu som.
5. Bolasepak Kertas
Bola sepak kertas pula selalunya dimainkan oleh budak lelaki di dalam bilik darjah semasa waktu rehat.
Dalam permainan ini keratan kertas yang agak keras dijadikan “pemain” yang dihempap untuk “menendang bola”.
Bola dan pintu gol juga dibuat menggunakan kertas.
6. Lawan Getah Pemadam
Permainan lawan getah pemadam juga sering dimainkan di dalam bilik darjah semasa waktu rehat atau semasa cikgu sedang bermesyuarat.
Getah pemadam gambar bendera negara biasa digunakan dalam permainan ini.
Bahagian tepi getah pemadam akan ditekan menggunakan jari supaya ia bergolek dan getah pemadam yang dapat menindih getah pemadam pihak lawan dikira sebagai pemenang.
7. Main Layang-Layang
Permainan layang-layang merupakan satu aktiviti menerbangkan layang-layang tersebut di udara.
Biasanya layang-layang dimainkan di kawasan yang lapang dan berangin.
Di Terengganu & Kelantan, biasanya layang-layang di mainkan di kawasan pantai kerana terdapat angin yang kuat di kawasan tersebut.
8. Main Congkak
Congkak adalah sejenis permainan tradisional Melayu yang sering dimainkan sebagai aktiviti dalaman atau sebagai pertandingan.
Lazimnya ia menggunakan papan kayu berlubang atau lubang di atas tanah dan kebiasaannya buah congkak menggunakan biji getah atau guli.
Permainan congkak melibatkan pengiraan.
Mereka yang cekap mencongak mempunyai kelebihan mengumpul mata dan seterusnya memenangi permainan.
9. Lawan Batang Aiskrim
Permainan lawan batang aiskrim ini adalah antara permainan yang popular dimainkan dalam bilik darjah semasa waktu rehat.
Cara bermainnya adalah dengan menepuk batang aiskrim menggunakan tangan bagi menggerakkannya tanpa menyentuh.
Batang aiskrim yang dapat menindih batang aiskrim lawan dikira sebagai pemenang.
10. Main Perang-Perang
Permainan yang kebiasaanya dimainkan oleh budak-budak lelaki kerana permainan ini agak lasak.
Senapang getah atau pistol getah akan digunakan sebagai senjata untuk menembak musuh dan biji getah digunakan sebagai peluru.
Memang sakit kalau kena biji getah ni…adoi!
11. Main Teng-Teng
Teng-teng atau juga dikenali sebagai Ketinting merupakan sejenis permainan tradisi kanak-kanak.
Ia dimainkan oleh lelaki dan perempuan, sungguhpun ia lebih disukai oleh kanak-kanak perempuan daripada daripada kanak-kanak lelaki ini kerana permainan ini lembut dan sesuai untuk kaum Hawa.
Di kampung-kampung, gelanggang dibuat dengan dengan menuliskan garisan di atas tanah sahaja dengan menggunakan hujung ranting.
Pemain dikehendaki melompat kedalam kesemua petak dengan sebelah kaki, kecuali di petak sembilan dengan kedua belah kaki.
Tetapi bagi pemain yang baru sahaja memulakan permainan di mana gundu berada di petak pertama, maka pemain hendaklah melompat terus ke petak ketiga, tanpa memijak di petak kedua.
Begitu juga dengan lompatan disetiap petak, seandainya pemain terpijak garisan ia dianggap mati dan giliran pemain lain mengambil alih permainan.
12. Sepak Bulu Ayam
Sepak Bulu Ayam juga dikenali sebagai sebuyam atau chapteh di mana permainan ini boleh dimainkan secara berseorangan atau lebih.
Sekiranya ia dimainkan secara berseorangan, pemain akan cuba menyepaknya seberapa banyak yang mungkin dan seberapa lama yang mungkin.
Ini biasanya dikenali sebagai menimang.
Menimang juga boleh dimainkan lebih daripada satu orang, dan pemain bergilir menimang bulu ayam, sementara pemain lain mengira berapa kali sepakan dibuat.
Sekiranya ia dimainkan lebih dari satu pemain, kumpulan dengan terdiri beberapa orang boleh dibentuk.
Permainan ini adalah seperti permainan sepak raga, tetapi bola yang digunakan adalah dari bulu ayam yang telah dibentuk seperti sejambak bunga.
13. Tarik Upih
Tarik upih merupakan satu permainan kanak-kanak yang dimainkan oleh kanak-kanak di beberapa negara ASEAN.
Upih pinang adalah pelepah atau “pangkal” daun pokok Pinang.
Lazimnya apabila pelepah ini tua, ia akan luruh atau jatuh ke tanah.
Ketika pelepah ini jatuh ia masih berguna.
Daun pinang dari pelepah itu akan dibuang dan dijadikan hulu atau tempat untuk menarik upih tersebut.
Selain pelapah pinang, pelepah kelapa juga boleh digunakan untuk permainan ini.
14. Main Tuju Selipar
Permainan tuju selipar atau susun selipar merupakan sejenis permainan tradisional kanak-kanak Malaysia.
Ia sama seperti permainan baling tin cuma ditukar kepada selipar.
Tiga selipar diperlukan untuk permainan ini selipar disusun menegak dan dibaling untuk menjatuhkan.
Ia sering dilihat menjadi aktiviti menghiburkan ketika berkumpul bersama rakan dan taulan.
Permainan ini amat mudah kerana alatan yang diperlukan hanyalah selipar yang selalunya dipakai oleh masyarakat di Malaysia.
15. Main Wau
Perkataan “wau” dikatakan berasal dari perkataan kerajaan Melayu Pattani (Thai) memandangkan negeri seperti Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah menggunakan perkataan tersebut.
Selain itu kemunculan nama wau juga dikaitkan bunyi yang terhasil daripada busur yang diikat pada wau.
Apabila dinaikkan ke udara, daun ibus yang dipasang pada busur tersebut akan menghasilkan bunyi “wau” secara berirama.
Permainan wau diadakan sebagai hiburan untuk pelbagai peringkat umur dan ia juga diadakan untuk pertandingan.
Pertandingan yang melihat bentuk kecantikannya diukur dari segi keindahannya kepada bentuk, corak ciptaan, warna, keaslian ciptaan dan ukurannya.
Sumber: Wikipedia Bahasa Melayu